Tun M seperti keberatan lepas kepimpinan negara – DPIM

0
3

Nurul Huda Abhar

SEDARKAH Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa yang rakyat Malaysia akhirnya sudah meneruskan hidup, kata Ketua Pemuda Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Atau mungkinkah terdapat lagi muslihat yang disimpan bekas Perdana Menteri itu, menurut beliau.

“Jawapan itu jelas pada mata kita tetapi tidak di mata Mahathir dan konco-konconya.

“Dilema Mahathir boleh diumpamakan seperti seorang ayah yang risau untuk melepaskan anak gadisnya berdiri dan berjalan bebas. Beliau risaukan anak gadisnya jatuh dan menangis.

“Beliau gagal melepaskannya pergi. Masanya sudah tiba. Malah sudah terlewat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahir berkata, tindakan Dr Mahathir itu patut menjadi peringatan kepada semua ahli politik negara agar ‘biarkan’ sahaja pemimpin lain yang menyambung menguruskan negara.

Katanya, Dr Mahathir harus melepaskan tanggungjawab memimpin negara dan membiarkan Malaysia keluar dari kepompong pelukan ‘ayahanda’ (Mahathir).

“Niat beliau suci. Sumbangan beliau pula tidak terkira dan dicemburui banyak pihak. Kemuliaan dan kecintaan beliau terhadap negara ini tidak mungkin dapat dipersoalkan.

“Kita perlu melepaskan Mahathir Mohamad pergi. Kita mesti membiarkan Mahathir Mohamad menjadi suami, ayah, datuk dan moyang. Masalah negara ini tidak sepatutnya tergalas di bahunya lagi,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, Ahli Parlimen Langkawi itu adalah negarawan ulung dan rakyat terhutang budi kepadanya tidak kira sama ada menyayangi beliau atau sebaliknya.

“Kita mesti melepaskan beliau pergi supaya beliau boleh melakukan perkara yang sama. Bukankah itu perasaan cinta tapi benci yang disebut orang?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here