Paderi dituduh cabul 2 lelaki OKU

0
3

SEORANG paderi warga Korea Selatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua lelaki golongan kurang upaya (OKU) pada 2013 dan 2017.

Tiada pengakuan direkodkan berikutan ketiadaan jurubahasa Korea dan jurubahasa isyarat antarabangsa bagi membaca tuduhan di hadapan Majistret M Kalaiarasi, lapor Berita Harian.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Jee Jong Hoon, 54, yang juga OKU pertuturan dan pendengaran, didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada dua lelaki dengan niat mencabul kehormatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ke atas mangsa yang kini masing-masing berusia 27 dan 28 tahun, jam 12.20 tengah malam pada Oktober 2013 dan 11 malam hingga 1 pagi pada Julai 2017 di dalam bilik di tingkat 11, Apartmen Seri Cemerlang, Kampung Paya, Butterworth di Pulau Pinang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlin Zeti Zainal Abidin manakala, tertuduh diwakili peguam G Shanmugam dan Adlin Farhana.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin sebelum menetapkan 18 Januari 2021 bagi sebutan semula kes untuk pihak pembelaan menyediakan jurubahasa isyarat antarabangsa dari Istana Kehakiman, Putrajaya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here