Nurul Huda Abhar
KASIH ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Itu ungkapan bagi menggambarkan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak yang tidak berbelah bahagi.
Sama juga dengan kisah seorang bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi membahagiakan anak-anak meskipun tahap kewangan tidak begitu baik.
Perkongsian akaun Facebook (FB) Wazirudin Zainuddin menceritakan seorang bapa yang berkerja sebagai penghantar kurier tidak mampu membeli permainan baharu kepada anaknya.
Menurut Wazirudin, perbualannya bersama lelaki itu berlaku ketika menerima barang.
Lelaki sekitar 40-an itu bertanya kepadanya adakah jirannya ada di rumah.
“Adik, tanya sikit dik, tuan rumah tu ada kat rumah ke? (sambil tunjuk rumah jiranku). Saya bagi salam tiada orang jawab.
“Mungkin kerja masa ini, kenapa bang? Nak hantar barang ke? Bagi dekat saya pun boleh.
“Eh, tak saya dari minggu lepas tengok ada mainan kat belakang tu, macam tak guna. Saya ingat nak ambil kalau nak buang. Saya nak, tapi nak minta segan,” tulisnya.

Wazirudin berkata, apabila bertanya kepada lelaki itu untuk apa tujuan mengambil mainan using tersebut, hatinya bagai tersentak.
“Tak ada apa dik, saja ingat kalau tak guna nak bawa balik bagi anak saya,” ujarnya.
Mendengar jawapan itu, Wazirudin kelu kerana tidak menyangka lelaki itu hanya mahu mengambil mainan using tersebut untuk diberi kepada anaknya.
Selepas mengambil nombor telefon dan lelaki tersebut beredar, lantas beliau tekad untuk memberi kejutan kepada pekerja penghantar barang itu.
Beliau menelefon kembali dan memberitahu kepada lelaki itu bahawa mainan usang berkenaan kini berada bersamanya, dan akan menghantar sendiri mainan itu.
“Aku pun bawa keluar mainan itu. Abang itu pandang mata aku muka dia berubah. Aku balas dengan senyuman.
“Saya tengok tadi mainan tu ada rosak sikit. Saya beli baru untuk abang ya. Bukan sedekah bang, ni hadiah untuk anak abang.
“Sebut je anak abang itu tekup muka dia sambil duduk belakang van. Memandang ke bawah. Tak berkata apa selama seminit. Cuma tiga perkataan disebut… Allahuakbar, Allahuakbar, Alhamdulillah,” ujarnya.

Jelas Wazirudin, lelaki itu menangis dan cuba untuk menolak pemberian tersebut kerana malu.
Lantas, beliau menjelaskan melihat kesungguhan lelaki itu membuatkan dia teringat kepada kesusahan ibu bapanya ketika membesarkan anak waktu dahulu.
Selepas dipujuk, lelaki itu bersetuju untuk menerima pemberian berkenaan dan Wazirudin berkata setiap orang mempunyai rezeki yang berlainan dan harus dikongsi bersama-sama. – Malaysiapost

