Kes rasuah Guan Eng, isteri: Lebih 100 dokumen diserah

0
3
BUTTERWORTH, 11 Ogos -- Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah. Lim, 60, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng (dua, kanan) melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA BUTTERWORTH, Aug 11 -- Former Penang Chief Minister Lim Guan Eng (right) pleaded not guilty at the Sessions Court today to the charge with corruption. Lim, 60, was charged, in his capacity as the Chief Minister of Penang and chairman of the Penang Development Corporation (PDC) Procurement Board then, with using his position for gratification, involving RM372,009 for his wife, Betty Chew Gek Cheng (second, right), through a company, Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd. --fotoBERNAMA (2020) COPYRIGHTS RESERVED

PIHAK pendakwaan telah menyerahkan lebih 100 dokumen kepada pasukan pembelaan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; isterinya, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Hasim semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Syafiq berkata, beliau akan menyerahkan lima lagi dokumen serta lebih 100 dokumen lain yang telah diserahkan sebelum ini dalam bentuk salinan bercetak seperti diminta pihak pembelaan, lapor Bernama.

Peguam RSN Rayer yang mewakili Guan Eng dan isteri berkata pihaknya tiada bantahan dan memohon mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan kes seperti dipersetujui pihak peguam dan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 19 Februari 2021 untuk sebutan semula kes itu.

Turut hadir di mahkamah ialah peguam A Rueban ynng mewakili Li Koon, namun ketiga-tiga tertuduh tidak hadir kerana mendapat pengecualian kehadiran.

Syafiq ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata lebih 100 dokumen yang telah diserahkan sebelum ini adalah dalam bentuk “hard disk” (cakera keras).

Katanya, ia termasuk berkaitan mesyuarat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi projek perkampungan pekerja dan juga cek berkaitan pertuduhan pengubahan wang haram dihadapi tertuduh ketiga, Gek Cheng.

Beliau berkata lima lagi dokuman yang akan diserahkan ialah berkaitan cek-cek, dan sekiranya semua dokumen lengkap kemungkinan tarikh perbicaraan akan ditetapkan pada prosiding kes akan datang.

Pada 11 Ogos lalu, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, bernilai RM11,610,000 yang Gek Cheng secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Li Koon pula didakwa bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Guan Eng dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.

Gek Cheng didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM372,009 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza, antara 7 October 2013 dan 4 Ogos 2014; 3 September 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Guan Eng, 60, Gek Cheng, 56, dan Li Koon, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dihadapi mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here