Muhyiddin kekal ‘kambing korban’ Umno, tunggu masa disembelih – Kadir Jasin

0
3

PENYOKONG Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin melihat kejayaan belanjawan 2021 pada 15 Disember lalu diterima sebagai petanda kekuatan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata penyokong kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap yakin bahawa undian belanjawan itu tidak sama dengan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.

“Bagi Umno, sesetengah pemimpin mereka akan terus berusaha mendapatkan apa yang terbaik dengan “bermain kayu tiga” di antara Muhyiddin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

“Di pihak lain pula, sesetengah pemimpin Umno khususnya yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah akan terus bermain kayu tiga dengan Muhyiddin dan Anwar bagi mendapat ‘the best deal’ berkaitan kes-kes mereka,” katanya menerusi Facebook.

Menurut bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu, keutamaan Umno kini ialah mahu kembali berkuasa melalui pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Untuk itu, Umno mesti membendung pengaruh Bersatu dan PAS dengan cara berbaik-baik dengan mereka tetapi pada masa yang sama mensabotaj parti terbabit.

“Matlamat sepadu Umno ialah menguburkan Bersatu dan menyekat PAS.

“Dengan Muhyiddin, Umno sudah tahu kekuatan dan kelemahannya serta apa lagi yang boleh diperas ugut. Dengan Anwar belum tahu,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa, Umno kekal berdepan suasana suram selagi parti berkenaan terus bergantung kepada pemimpin sekarang ketika mereka dianggap sebagai kleptokrat.

Katanya, ia mendorong pihak tertentu dalam Umno untuk mendorong timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengambil alih pucuk pimpinan.

“Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan PN dilihat menjadi peluang kepada pembangkang menyekat Muhyiddin dan kerajaannya selepas mereka berpakat menjatuhkan PH pada Februari lalu.

“Pada masa sama, Anwar mengumumkan dia memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru menggantikan PN.

“Bagaimanapun ia tidak dapat dibuktikan setakat ini dan belanjawan pula diluluskan di Dewan Rakyat walaupun dengan kelebihan tiga undi saja.

“Undian itu juga sekali lagi menunjukkan tahap sokongan yang diterima Muhyiddin memang tipis dan kerajaan PN akan terus dilihat tidak utuh.

“Ia (Umno) adalah yang di hadapan sekali dalam mengeksploitasi kelemahan kerajaan PN.

“Sambil meraih faedah melalui penyertaan dalam kerajaan, Umno sedang berusaha menyekat kemaraan PN dan Bersatu dari dalam. Mereka menjadikan PN kuda tunggangan,” katanya.

Maka dalam suasana itu, A Kadir berkata,  Muhyiddin kekal menjadi ‘kambing korban’ yang menunggu masa untuk ‘disembelih’.

“Atau dia sendiri sedang berkomplot untuk merampas Umno dan kembali sebagai bos nombor satu parti itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here