PENYERANG Harimau Malaya, Safawi Rasid yang dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense SC akan pulang menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Perkhabaran itu disahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika bersiaran secara langsung bersama Astro Arena malam ini.
“Saya rasa Safawi akan kembali, jadi Safawi akan bersama JDT tahun 2021. 100 peratus (kembali ke Malaysia),” katanya.
Safawi yang hampir tiga bulan berkelana di Portugal setakat ini masih belum membuat sebarang penampilan bersama skuad utama Portimonense SC.
Pemain berusia 23 tahun itu sebaliknya hanya tersenarai di bangku pemain simpanan dalam beberapa aksi Liga Primeira dan perlawanan pusingan ketiga Piala Portugal.
Saingan Liga-M musim 2021 dijadualkan bermula hujung Februari. – Malaysiapost

