PN setuju tubuh Majlis Presiden

0
3

SEMUA parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara menubuhkan Majlis Presiden yang akan dianggotai oleh ketua parti masing-masing.

Sekretariat Setiausaha Agung Parti-Parti Dalam Kerajaan PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata ia sebagai platform membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti.

Katanya, perkara itu dipersetujui semua ketua parti dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Bagi menyelaraskan Majlis Presiden terbabit, satu sekretariat dianggotai semua Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN ditubuhkan.

“Pada mesyuarat itu parti-parti dalam kerajaan PN turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya menerusi kenyataan.

Mesyuarat itu dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Turut hadir mewakili ketua parti yang lain ialah Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah; Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup.

Selain itu, Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Edward Dagul; Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Paul Igai; Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Guan Dee Koh Hoi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here