Belanjawan 2021: Solidariti kepimpinan BN, ‘kecewakan’ pembangkang

0
2

Nurul Huda Abhar

RANG Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang diluluskan di peringkat dasar baru-baru ini adalah bukti Umno dan Barisan Nasional (BN) benar telus dan jujur dalam memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, atas dasar tersebut Umno dan BN telah membangkit dan memastikan beberapa perubahan dibuat dalam bajet tersebut agar ia lebih mesra rakyat.

“Meskipun terdapat cubaan untuk menggagalkan belanjawan ini melalui undi belah bahagi tetapi sikap solidariti dalam kepimpinan BN berjaya membawa kepada kelulusan belanjawan ini.

“Jika kita lihat semasa BN menjadi pembangkang, semua Ahli Parlimen BN tetap menyokong belanjawan kerajaan ketika itu kerana apa yang menjadi keutamaan perjuangan BN adalah nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, BN sentiasa mendahulukan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat apatah lagi di kala negara dilanda pandemik Covid-19, sudah semestinya Belanjawan 2021 perlu disokong bagi meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan yang amat memerlukan.

Jelasnya lagi, ianya terbukti apabila BN menyuarakan dan bertegas agar kerajaan meluluskan dan mempermudahkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, ini kerana pengeluaran ini dapat meringankan kos sara hidup rakyat yang makin terhimpit akibat Covid-19.

“Perjuangan BN tidak pernah lari dan tidak akan berubah iaitu sentiasa mendahulukan rakyat dan ia selari dengan slogan Umno ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” ujarnya lagi.

Terdahulu, bacaan kali ketiga RUU Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) pada Selasa lalu diluluskan dengan undian belah bahagian yang menyaksikan seramai 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 108 tidak bersetuju.

Usul yang dibawakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz itu disokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Undi belah bahagian dilaksanakan susulan usul Ahli Parlimen blok pembangkang yang bangun melebihi 15 orang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudiannya mengarahkan undi belah bahagian dilaksanakan tanpa sebarang tempoh masa berikutan undi sama baru saja dijalankan untuk kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.

Sebaik selesai proses undi belah bahagian dijalankan, Azhar kemudian mengumumkan keputusan undi yang mana ia memihak kepada kerajaan dengan 111 undi sokong, 108 tidak menyokong, manakala seorang tidak hadir. –Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here