EMPAT anggota polis daripada Balai Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor ditahan semula berhubung kes penyeludupan dadah dalam lokap di IPD tersebut, 3 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat anggota berusia 28 hingga 36 tahun ditahan di IPD Kota Tinggi, 9 pagi , 10 Disember lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor.
Katanya mereka yang ditahan berpangkat koperal dan lans koperal.
“Hasil saringan urin mendapati dua daripada empat anggota yang ditahan disahkan positif dadah jenis methamphetamin.
“Sebelum ini kita tahan 10 suspek terlibat dengan kes penyeludupan dadah dalam lokap, yang mana sembilan daripada suspek adalah anggota dan pegawai Polis IPD Kota Tinggi dan seorang awam. Lima daripada suspek kita bebaskan untuk jadi saksi pendakwaan.
“Manakala empat anggota polis yang saya katakan tadi dan seorang awam akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Jadi ada lima suspek kita ambil tindakan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Sebum ini, media melaporkan, sembilan anggota polis dan seorang awam ditangkap terbabit dalam pengedaran dadah di dalam lokap di IPD Kota Tinggi pada 29 November lalu.
Sembilan anggota polis yang ditahan berusia antara 20 hingga 36 tahun termasuk seorang anggota wanita.
Mereka yang berpangkat Koperal hingga Konstabel adalah penjaga lokap di IPD berkenaan manakala, orang awam yang ditahan wanita berusia 23 tahun, anak kepada salah seorang tahanan di lokap itu yang dikenali sebagai ‘Datuk Ajim’. -Malaysiapost

