PH perlu buat anjakan politik, tak perlu kejar bayang-bayang

0
3

PAKATAN Harapan (PH) perlu membuat anjakan politik dan tidak perlu mengejar bayang-bayang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menarik sokongan Ahli Parlimen kerajaan pada undian Belanjawan 2021, Selasa lalu.

Menerusi satu kenyataan bersama, Setiausaha Agung, DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata keputusan undian itu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan oportunis.

Kata mereka, kelompok itu hanya memperalatkan PH untuk kepentingan peribadi agar memperoleh tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PH harus berdepan realiti ini, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama pada Selasa.

“Undian Belanjawan pada Selasa mengajar kita untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 MP (Ahli Parlimen) dengan berdasarkan hanya 92 Ahli Parlimen PH.

“Andai kata berdasarkan 108 Ahli Parlimen PH Plus betapa kuat laginya!,” katanya dalam kenyataan itu.

Selasa lalu, Belanjawan 2021 bagi bacaan kali ketiga diluluskan dengan majoriti tipis tiga undi apabila 111 Ahli Parlimen menyokong manakala 108 lagi menolak.

Sehari sebelumnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan sidang media bersama menawarkan diri untuk menerajui negara jika PN tumbang dalam Belanjawan tersebut.

Sementara itu, Guan Eng dan Mohamad berkata, kelmarin adalah hari mengecewakan bagi pemimpin dan penyokong PH yang berharap Belanjawan 2021 dapat dikalahkan pada bacaan ketiga, seterusnya membolehkannya menuntut semula mandat rakyat pada pilihan raya 2018.

‘PH telah menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan bahawa beliau boleh mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen Kerajaan dengan syarat mereka bukan Ahli Parlimen kleptokrat, terutamanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak ada satu pun Ahli Parlimen kerajaan yang mengundi bersama PH, termasuk mereka yang kononnya menyokong Anwar.

“Jelas Ahli Parlimen kerajaan ini sangat pandai dengan permainan politik untuk mengaut kelebihan dan meraih keuntungan daripada kerajaan PN,” kata mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here