KERAJAAN PAS Kelantan akan memansuhkan jawatan pegawai penyelia yang dilantik bagi mengurus kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi Umno dan Bersatu, mulai tahun depan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sehubungan itu juga, semua peruntukan yang sebelum ini diuruskan oleh penyelia terbabit akan disalur terus kepada wakil rakyat yang berkenaan.
“Selama ini kita ada pegawai penyelia di kawasan DUN dan Parlimen yang kita kalah sama ada kepada Umno atau Bersatu.
“Mengambil semangat kerjasama, mulai 2021 kerajaan negeri setuju mansuhkan jawatan penyelia di kawasan itu bagi memberi ruang kepada wakil rakyat di situ untuk berperanan sama ada daripada Umno dan Bersatu,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata, individu yang memegang jawatan penyelia terbabit akan dilantik sebagai pegawai seranta di bawah Pejabat Menteri Besar.
“Jumlah penyelia yang dimansuhkan jawatan ini ialah mengikut kawasan yang tidak dimenangi oleh PAS seperti Parlimen Jeli, Machang, Tanah Merah, Ketereh, Gua Musang serta beberapa kawasan DUN seperti Kok Lanas dan Galas,” katanya. – Malaysiapost

