Bukan kebakaran besar – The Mines

0
2

THE Mines Resort and Golf Club menafikan kebakaran Isnin lalu melibatkan sebahagian besar kelab tersebut, sebaliknya hanya terjadi di bahagian atas restoran.

Pengerusi Eksekutif Country Heights Holdings Berhad and The Mines, Tan Sri Lee Kim Yew berkata kebakaran hanya melibatkan sebahagian restoran palong atau coffee house dan bukannya kebakaran besar seperti yang digembar-gemburkan.

Beliau yang juga pengasas kelab golf terbabit berkata kebakaran itu merupakan kejadian pertama di kelab golf terbabit.

“Bila saya melihat berita itu tersebar di internet, ramai yang mengatakan kelab ini mengalami kebakaran yang besar tetapi sebenarnya tidak. Hanya melibatkan restoran palong,” katanya kepada Bernama hari ini.

Lee berkata pihaknya menerima pelbagai respons dari dalam dan luar negara terutama komuniti pemain golf yang bertanya khabar mengenai kejadian terbabit selain memberi kata-kata semangat termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya menerima panggilan daripada komuniti golf antarabangsa antaranya dari Jepun yang bertanya khabar mengenai kejadian terbabit termasuk dari pemain golf tempatan, kenalan termasuk Perdana Menteri (Muhyiddin),” katanya.

Jelasnya, beliau amat menghargai segala ucapan dan perhatian oleh semua pihak dari dalam dan luar negara mengenai kejadian itu.

Beliau berkata penghargaan juga ditujukan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang memberi respons pantas selain berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Saya amat menghargai jasa anggota bomba yang memadamkan kebakaran dengan pantas. Mereka lakukan dengan baik sekali meskipun saya mendapati peralatan digunakan mereka sudah uzur dan perlu diperbaharui,” katanya.

Berikutan kejadian terbabit, beliau berkata kelab golf berkenaan menutup operasinya pada hari kejadian dan dibuka semula semalam.

Pada Isnin lalu, Bernama melaporkan sebuah bangunan di kelab golf di Seri Kembangan telah terbakar dipercayai disambar petir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here