Melayu tidak seharusnya berpecah kerana parti politik

0
3

Nurul Huda Abhar

Pemuda Umno Johor menyeru bangsa Melayu bersatu membina kekuatan dan tidak seharusnya berpecah dengan hanya penubuhan parti baru.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah menolak penambahan parti politik baru berlandaskan Melayu yang dilihat dengan sengaja ingin memecah-belahkan bangsa.

“Kini orang Melayu mempunyai enam parti politik yang berbeza. Apakah perpecahan dalam kalangan Melayu baik untuk kaum berkenaan?

“Kaum Cina dan India juga berselisih faham dari segi politik tetapi tidaklah sehingga mereka menjatuhkan sesama kaum sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti baru bagi menyertai PRU15 nanti.

Parti itu akan berperanan sebagai blok ketiga dan menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan kelak.

Menurut Mahathir, parti itu tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakata Harapa (PH).

Mahathir menubuhkan parti baru itu selepas disingkirkan daripada Bersatu dan anaknya Datuk Seri Mukhriz akan menjadi presiden.

Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata berbeza dengan bangsa Melayu walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat, ia boleh menyebabkan pertelingkahan yang berpanjangan.

Mengambil contoh kemenangan bilangan bangsa lain dalam kerajaan PH pada PRU14 lalu, orang Melayu tidak boleh terus berpecah kerana boleh memberi kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara.

“Sedangkan mengikut ajaran Islam, perbezaan pendapat itu satu rahmat,” ujarnya lagi.