Muhammad Mustakim Ramli
SERAMAI 235 individu ditahan polis semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 233 individu telah dikompaun manakala dua individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82), tidak memakai pelitup muka (81), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (57 dan lain-lain (15),” katanya, hari ini.
Sementara itu, bagi Operasi Benteng pihak berkuasa berjaya menahan 40 pendatang asing tanpa izin, lima penyeludup serta merampas tujuh kenderaan darat dan empat bot.
Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 12,709 operasi sanitasi merangkumi 137 zon.
“Sebanyak 14,537 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,910 pusat perniagaan, 1,686 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,894 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,690 bangunan kerajaan.
“Semalam sebanyak 43 operasi sanitasi meliputi 10 Zon Merah, satu Zon Jingga, 11 Zon Kuning dan empat Zon Hijau yang melibatkan lapan negeri dan satu wilayah persekutuan iaitu Melaka (15 operasi), Sabah (11 operasi), Kedah (6 operasi), Pahang (3 operasi), Sarawak (2 operasi), Kelantan (2 operasi), Terengganu (2 operasi), dan Negeri Sembilan (1 operasi) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1 operasi),” katanya. -Malaysiapost

