Beri kepercayaan pada golongan millenial – Kit Siang

0
2

SUDAH tiba masanya golongan millennial diperkasakan dengan lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan kuasa, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Kit Siang yang hampir menjangkau usia 80 tahun berkata, golongan millenial dimaksudkannya adalah mereka yang dilahirkan di awal tahun 1980-an sehingga awal tahun 2000.

Katanya, 54 peratus rakyat Malaysia kini berusia di bawah 30 tahun dan sekitar 70 peratus berusia di bawah 40 tahun.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan memulakan perkara itu dengan menubuhkan Pasukan Tugas Khas Kerajaan Persekutuan – Kerajaan Negeri Sabah yang diketuai Veveonah Mosibin, 18, untuk melakukan tinjauan di Sabah untuk memastikan tiada sesiapa lagi yang perlu meluangkan masa di atas pokok atau berhimpun di jambatan gantung untuk mendapatkan akses internet di Sabah.

“Perkara ini pastinya mengejutkan sesetengah pihak, bagaimanakah sebuah pasukan tugas khas kebangsaan boleh diketuai oleh seorang gadis yang berusia 18 tahun.

“Kita berada dalam satu era yang baharu dan kita perlu bersedia untuk menggunakan kaedah baharu untuk mengatasi masalah negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perkara ini akan menjadi bukti bahawa Malaysia menghargai sumbangan golongan muda, wanita, dan minoriti untuk bersama-sama menyelesaikan masalah negara, terutamanya yang dihadapi oleh golongan muda dalam pembelajaran atas talian.

Katanya, negara di seluruh dunia telah membuktikan bahawa golongan muda pada usia 25 tahun mampu memimpin sesebuah negara termasuklah Perdana Menteri Finland, Sanna Marin yang berusia 34 tahun, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pada usia 37 tahun.

Malah beliau turut memberikan contoh anak Malaysia, Jocelyn Yow yang dilantik menjadi Datuk Bandar California, Amerika Syarikat pada usia 25 tahun.

“Saya tidak melihat mengapa Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun tidak dapat menjadi Ketua Pasukan Petugas Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah jurang digital di Sabah.

“Jadikan era ini sebagai era millenial — bermula dengan Veveonah Mosibin!,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here