8 warga China diisytiharkan ‘persona non grata’ – Polis

0
1

LAPAN warga China diisytiharkan sebagai ‘persona non grata’ selepas dikaitkan dengan kesalahan jenayah komersial di hotel di ibu kota, 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, hasil serbuan di hotel itu, pihaknya menahan 19 warga China termasuk seorang bayi dan seorang individu tempatan yang disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian.

“Pertuduhan kes ini yang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibuat di Mahkamah Jalan Duta pada 4 November lalu.

“Daripada 19 warga asing ditahan, lapan daripadanya diisytiharkan sebagai persona non grata yang diperolehi pada 8 Disember lalu.

“Ini adalah kumpulan pertama yang dikenakan tindakan itu bagi kesalahan jenayah dilakukan mereka,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Saiful Azly berkata, pihaknya juga sudah memajukan permohonan pengisytiharan persona non grata bagi tangkapan terhadap 23 warga asing yang terbabit dengan kegiatan penipuan dalam talian di hotel di Bukit Bintang, di sini, pada 29 November lalu.

“Pertuduhan kes ini dilakukan pada 11 Disember lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Jalan Duta dan permohonan pengisytiharan persona non grata pula dimajukan semalam,” katanya.

Persona non grata adalah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya selepas didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, warga asing yang didapati terbabit dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai persona non grata.

Keputusan berkenaan terpakai kepada semua warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen tanpa mengira jenis pas dimiliki.

Perkara itu turut disokong Polis Diraja Malaysia apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dipetik berkata pihaknya akan merujuk penjenayah warga asing disabitkan kesalahan di mahkamah khususnya membabitkan ketua sindiket penipuan dan maksiat kepada Imigresen untuk diisytiharkan sebagai persona non grata. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here