Dasar pendidikan tak sesuai, Tun M tak sokong Belanjawan KPM

0
3

Najamuddin Mohd Nor

[PARLIMEN] PENDIDIKAN negara perlu diubah agar lebih menepati citarasa cara hidup golongan anak-anak muda, dewasa ini

Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) menyifatkan rakyat di negara ini menerima dasar pelajaran atau pendidikan negara yang tidak sesuai dengan peredaran zaman.

“Sistem mengajar juga perlu ditukar kerana perkembangan teknologi berkomunikasi yang mampu memperkenalkan ilmu dengan lebih mudah.

“Kita guna guru dalam darjah untuk menyampaikan ajaran ilmu kepada murid. Kita juga menyediakan buku untuk permudahkan perolehan ilmu. Tetapi sekarang kita boleh sampaikan ilmu dengan menggunakan komputer.

“Sebenarnya pengajaran yang disampaikan dalam Youtube umpamanya lebih mudah difahami kerana ianya disediakan oleh pakar dan dengan adanya gambar bergerak. Penuntut boleh ulang berkali-kali pelajaran yang disampaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau berharap agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengkaji dan memperkenalkan cara mengajar baharu yang lebih sesuai dengan zaman teknologi sekarang.

Melalui Internet, Kementerian Pendidikan boleh mendapatkan pembelajaran daripada guru-guru pakar dan boleh disediakan terus kepada pelajar.

“Sudah tentu dalam mempelajari Bahasa Inggeris kursus yang disedia oleh pakar, yang membolehkan kita dengar perkataan-perkataan yang betul serta susunan ayat, akan permudahkan kita mengikuti dan mengulangi apa sahaja berkali-kali sehingga terlekat dihati.

“Sesungguhnya dasar dan cara pendidikan perlu dikaji dan dipinda supaya lebih sesuai dengan keperluan anak muda di masa hadapan. Demikian juga dengan cara menyampai ilmu kepada penuntut di semua peringkat,” katanya lagi.

Justeru, Dr Mahathir berkata, tiada apa-apa cadangan dalam belanjawan untuk pendidikan ke arah itu dan dirinya tidak akan menyokong belanjawan ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here