Najamuddin Mohd Nor
[PARLIMEN] MENTERI Kesihatan, Datuk Ser Dr Adham Baba dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat hari ini tanpa perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE).
Perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang menyatakan Ahli Parlimen Tenggara itu telah menamatkan tempoh menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) semalam.
“Ada maklumat tambahan berkaitan tempoh 10 hari menjalani HSO, saya telah dimaklumkan Yang Berhormat (YB) Tenggara telah menamatkan tempoh HSO semalam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran pula akan menamatkan tempoh menjalani HSO hari ini manakala Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan akan berakhir pada Khamis ini.
“Dengan mengambil kira tempoh 10 hari HSO, YB Tenggara telah selesai semalam.
“YB Batu hari terakhir adalah pada hari ini. Ini bermakna YB Batu boleh kembali esok. YB Tapah hari terakhir adalah Khamis 17 Disember,” kata Azhar.
Terdahulu persidangan Dewan Rakyat terganggu beberapa minit sebelum sesi perbahasan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Pendidikan di peringkat jawatankuasa dimulakan.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu kehadiran Ahli Parlimen yang menjalani HSO dibenar hadir ke Dewan Rakyat sama ada telah mendapat kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Namun, Azhar memaklumkan ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut telah menulis surat permohonan kepada Dr Noor Hisham pada 14 Disember lalu.
Menurut Azhar, Dr Noor Hisham melalui suratnya pada 14 Disember telah meluluskan permohonan ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut secara ‘time-off’ untuk hadir ke Dewan Rakyat mulai 14 hingga 17 Disember. – Malaysiapost

