Penarafan Fitch Ratings tak jejas pemulihan ekonomi 2021

0
3

SEMAKAN semula penarafan ke atas Malaysia oleh Fitch Ratings daripada ‘A-‘ kepada ‘BBB+’ tidak akan membantutkan usaha Malaysia ke arah pemulihan ekonomi pada 2021.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif Belanjawan 2021 dijangka menyumbang kepada sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5 hingga 7.5 peratus pada tahun depan.

“Ramai ahli-ahli Yang Berhormat sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik. Namun, Fitch sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7 peratus iaitu sejajar dengan unjuran Malaysia.

“Institusi lain seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8 peratus iaitu lebih tinggi daripada unjuran kerajaan.

“Ini secara amnya menunjukkan keyakinan terhadap kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung langkah kerajaan menangani keputusan mengejut Fitch Ratings menyemak turun penarafan kredit Malaysia.

Baru-baru ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan mendesak kerajaan menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat.

Menurut kenyataan itu, penurunan penarafan oleh Fitch adalah satu tamparan hebat buat kerajaan khususnya Menteri Kewangan.

“Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.

“Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here