SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan memberi jaminan akan menyokong undian bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perkara itu dinyatakan beliau menerusi ciapan di Twitternya, hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga sudah melaksanakan tugasnya dengan baik.
“Adakah saya akan undi Bajet 2021 di Dewan Rakyat? Jawapannya ya saya sokong Belanjawan2021 ini dan mengundi agar ianya diluluskan.
“Menteri Kewangan telah laksana tugas dengan baik. Tentang KWSP dan moratorium masih boleh dirunding dengan pihak-pihak yang berkaitan jika ada syarat-syarat yang sukar,” katanya dalam ciapan sama.
Kerajaan Perikatan Nasional dijangka melalui ujian getir apabila pembangkang cuba melakukan usaha terakhir untuk menggagalkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Persidangan di Dewan Rakyat akan dimulakan dengan sesi soal jawab diikuti dengan penggulungan Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selepas penggulungan kedua-dua kementerian tersebut, Tengku Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 untuk diluluskan.
Selepas itu, semua Ahli Parlimen akan memberikan undian sama ada menyokong ataupun menolak Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan PN.
Dipercayai pembangkang akan mengemukakan undi belah bahagi bagi memutuskan sama ada belanjawan itu diterima atau ditolak.
Sekiranya Belanjawan 2021 tidak berjaya diluluskan, ia akan dilihat sebagai bukti bahawa kerajaan PN telah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen bagi mentadbir negara. -Malaysiapost
