KOLAM ternakan ikan yang mengakibatkan empat Lori Rawatan Air (LRA) Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ditutup minggu lalu, akan ditukar fungsi sebagai kolam rawatan.
Jabatan Perikanan menerusi kenyataan berkata, tindakan itu dilakukan kerana kolam berkenaan beroperasi tanpa kebenaran dan memberi kesan kepada pencemaran alam sekitar serta pengguna air di Selangor.
“Jabatan kesal dengan kejadian pencemaran yang berpunca daripada kolam ikan itu dan pengusaha ternakan akuakultur sudah diarah menukar fungsi sebahagian kolam ternakan kepada kolam rawatan.
“Ini berikutan, operasi kolam tanpa amalan yang baik mengakibatkan pencemaran dan memaksa empat LRA diarahkan tutup. Ia akan memberi gangguan bekalan air kepada penduduk Selangor,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perikanan berkata, pihaknya sentiasa terbuka memberi khidmat nasihat kepada pengusaha dan penternak akuakultur untuk mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Garis Panduan Amalan Akuakultur Baik dan Skim Pensijilan myGAP sudah diperkenalkan bagi memastikan industri akuakultur terus mampan, berdaya saing, menghasilkan makanan berkualiti dan selamat serta menjaga kepentingan alam sekitar,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, pihaknya giat berusaha supaya Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) diterima pakai di setiap negeri supaya industri itu dapat di kawal selia dengan baik.
“Tindakan boleh diambil kepada pemilik premis akuakultur tidak berlesen atau yang melanggar syarat lesen,” katanya.
Rabu lalu, pelepasan air tercemar dari kolam ternakan ikan ke Sungai Selangor menjadi punca pencemaran bau seakan bangkai ikan yang menyebabkan empat LRA Air Selangor dihenti tugas. – Malaysiapost

