Ka Siong kongsi gambar Ahli Parlimen pakai PPE di Dewan Rakyat

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] BUAT pertama kalinya Ahli Parlimen yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) bagi mengikuti proses pengundian di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memuatnaik gambar situasi berkenaan di Facebook miliknya, kira-kira sejam tadi.

“Tiga orang Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Saravanan (Tapah), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara) dan Prabakaran (Batu) hadir mengundi dengan memakai PPE tengah hari ini.

“Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) memohon pengundian belah bahagian bagi memutuskan Belanjawan 2021 di Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Ketiga-tiga MP sedang menjalani kuarantin di rumah (HSO) seperti diarah Kementerian Kesihatan Malaysia. Mereka telah memohon kebenaran kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk menghadiri sesi pengundian di dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kelonggaran itu diberikan selepas mendapat kelulusan dan pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka akan dibawa menggunakan ambulans dengan mengenakan PPE dan ditempatkan di bilik khas.

“PPE baharu perlu dipakai sekiranya mereka ingin masuk ke dewan, tetapi ditempatkan di galeri awam bagi mengikuti proses pengundian.

“Ketika pengambilan undi, penghitung akan diarahkan untuk memakai ‘visor’ (pelindung muka), manakala mereka (Ahli Parlimen yang dikenakan HSO) akan diminta segera tinggalkan galeri awam selepas selesai mengundi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here