Fitri Nizam
TIADA sebarang kelonggaran kepada Ahli Parlimen dalam mana-mana prosedur saringan Covid-19, kata Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.
Katanya, beliau telah menjalankan tiga ujian saringan Covid-19 sejak beberapa hari lalu dan keputusannya adalah negatif.
Menurutnya, semua saringan diselaraskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta prosedurnya adalah amat ketat dan teliti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham (Abdullah) kerana bekerjasama dengan saya serta Ahli Parlimen yang lain bagi mencari jalan penyelesaian menghadiri sidang pembentangan Belanda 2021 yang terlalu penting bagi rakyat.
“Tiada sebarang kelonggaran bagi saya sebagai Ahli Parlimen dalam mana-mana prosedur saringan Covid-19 dan saya akan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada bagi memastikan keselamatan saya dan semua yang berurusan dengan saya.
“Esok hari terakhir kuarantin dan saya akan mengikut setiap prosedur dan SOP yang disarankan KKM sehingga dijamin selamat dan bebas dari segala ancaman jangkitan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Prabakaran adalah seorang daripada tiga Ahli Parlimen yang dikuarantin susulan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Dua lagi adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dibenarkan mengikuti persidangan Dewan Rakyat dengan diwajibkan berpakaian perlindungan diri (PPE). – Malaysiapost

