Program 2u2i akan dipantau jawatankuasa khas

0
2

Najamuddin Mohd Nor

[PARLIMEN] DALAM usaha mempersiapkan mahasiswa menempuh alam pekerjaan setelah tamat pengajian, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menubuhkan Jawatankuasa Strategik Mod Industri yang bertanggungjawab memantapkan lagi kualiti Program Dua Tahun Universiti dan Dua Tahun Industri (2u2i).

Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata jawatankuasa itu mampu menjadi platform dan rujukan utama dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan pekerjaan, selain membantu menambah baik pelaksanaan tersebut.

Katanya, setakat ini 83 program akademik mod 2u2i diluluskan pada peringkat Jabatan Pendidikan Tinggi untuk ditawarkan di universiti-universiti awam.

“Antara strategi memantapkan lagi program 2u2i yang pertama menyerap cloud computing dan science data ke dalam kokurikulum akademik bagi menyokong transisi IR 4.0.

“Kedua, menjadikan program berasaskan kemahiran seperti pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai satu program yang ditawarkan.

“Ketiga memberikan tumpuan untuk menawarkan program 2u2i dengan lebih agresif kepada semua institusi pendidikan tinggi serta pihak industri supaya program ini dapat dilaksanakan dengan luas.

“Dan keempat melaksanakan sesi libat urus bersama wakil industri pelbagai sektor bagi mendapatkan maklumat berhubung keberkesanan program 2u2i,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Noraini, input menerusi sesi libat urus itu akan dapat digunakan bagi menambah baik kurikulum berdasarkan pekerjaan yang dibangunkan supaya memenuhi keperluan industri.

“Kelima, mengadakan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman oleh IPT yang telah melaksanakan program 2u2i dengan IPT lain, di samping menyebar luaskan hebahan untuk menggalakkan lagi penglibatan mahasiswa,” katanya yang menjawab soalan Idris Jusoh (BN-Besut).

Idris bertanya langkah kementerian dalam memantapkan lagi pelaksanaan Program 2u2i bagi mempersiapkan graduan ke pasaran pekerjaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here