KISAH kejayaan Jocelyn Yow, rakyat Amerika Syarikat (AS) berdarah Malaysia yang dilantik Datuk Bandar Eastvale di California bukti negara luar mengiktiraf orang muda, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) itu berkata, keadaan itu wajar dijadikan sebagai iktibar berbanding Malaysia yang mengiktiraf orang tua.
“Ramai yang cakap, Malaysia hanya menghargainya rakyatnya (atau yang ada hubungan dengan Malaysia) apabila mereka sudah berjaya di luar negara. Mungkin ada benarnya hakikat ini.
“Tapi, saya lihat ada beberapa iktibar dan pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah Jocelyn Yow ini.
“Pertama, negara luar mengiktiraf orang muda, negara Malaysia iktiraf orang tua. Bayangkan, usianya 25 tahun tetapi beliau sudah diberi tanggungjawab besar sebagai Datuk Bandar di Eastvale, California.
“Di Malaysia, tugas pemimpin itu banyaknya masih lagi diserahkan kepada yang berusia atau berumur. Alasannya adalah lagi berusia, lagi banyak pengalaman.
“Tetapi, ini bukanlah alasan untuk negara kita terus menutup mata dan tidak memberi peluang kepada orang muda memimpin. Berikan ruang untuk kami bersuara, memimpin komuniti, menjadi wakil kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Syed Saddiq, bekas Menteri Besar dan Sukan ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad seterusnya berkata negara luar melihat kepada merit, Malaysia melihat kroni.
Katanya lagi, di negara luar ruang dan peluang tersedia kepada mereka yang berusaha keras dan ikhlas menjalankan tanggungjawab kepada komuniti.
“Jika anda rajin, pasti ada ruang untuk diisi. Tetapi di Malaysia, lain ceritanya. Jika anda tidak ada hubungan politik, hubungan dengan kroni atau sendiri menjadi ahli politik, ruang untuk memimpin sangat sukar.
“Bayangkan, jumlah ahli politik yang memimpin GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di negara kita.
“Saya tak perlu ulas tentang pelantikan politik di GLC untuk kita semua tahu bahawa jika orang muda tidak ada kroni, cerita kejayaan Jocelyn Yow pasti sukar ditemui di Malaysia,” katanya.
Syed Saddiq berkata, walaupun Jocelyn adalah warga AS, beliau percaya kejayaannya memberi inspirasi kepada ramai orang muda dan wanita Malaysia.
“Kalau negara luar boleh, Malaysia mesti boleh. Yang kena ada, hanyalah iltizam politik dan kesungguhan untuk bina negara bersama,” katanya.
Bapa Jocelyn berasal dari Alor Setar, Kedah manakala ibunya dari Vietnam. – Malaysiapost

