LELAKI yang menikam anak perempuannya berusia 18 bulan hingga terburai usus perut di Puchong Permai semalam, didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata suspek berusia 27 tahun itu direman lima hari sehingga Khamis ini dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaaan parah.
“Polis sedang mengesan keberadaan bekas isteri suspek iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak itu bagi tujuan siasatan kes,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, suspek mengalami tekanan perasaan akibat ditinggalkan isterinya.
“Suspek sebelum ini menetap di rumah keluarganya di sebuah flat di Puchong Permai sambil menjaga anak perempuan tunggalnya.
“Suspek bekerja sebagai pemasang pita penggelap cermin kereta di sebuah kedai aksesori kenderaan berdekatan di sekitar Puchong,” katanya dalam sidang media di Subang Perdana Court 10 di Kuala Lumpur.
Abd Khalid berkata, mangsa telah dipindahkan dari Hospital Serdang ke Hospital Kuala Lumpur semalam bagi menjalani pembedahan.
“Mangsa selesai menjalani pembedahan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di bawah jagaan unit rawatan rapi (ICU).
Semalam, media melaporkan seorang lelaki mengamuk dan menikam perut anaknya yang berusia 18 bulan.
Polis berjaya merampas sebilah pisau pemotong roti yang disyaki digunakan untuk menikam anak perempuannya.-Malaysiapost

