Tolak kerendahan akal, adab terhadap Sultan – Anwar

0
2

Nurul Huda Abhar

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin politik menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Anwar berkata, politik negara harus kembali ke landasan serta garis besar perjuangan serta hentikan segala kerakusan kuasa.

“Menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Perak agar negara ini harus kembali ke landasan serta garis besar perjuangan dan mengembalikan keabsahan, dan segera menghentikan imej serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau juga mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Sultan Nazri mutakhir ini memberi gesaan terkait salahguna kuasa, rasuah dan percaturan elit politik.

“Saya fikir bahawa ia tidak hanya terbatas pada situasi politik di Perak, malah di peringkat Persekutuan juga.

“Saya berpandangan bahawa reformasi institusi harus segera digerakkan bagi memungkinkan sebuah tatakelola yang baik dan bertanggungjawab serta tidak mengkhianati amanah dan mengabai kepentingan rakyat,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Nazri atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu tidak menghadap seperti dititahkan baginda, 8 Disember lalu.

Beliau berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dijadual akan mengadap baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui.

Malah, beliau mengesahkan surat tersebar di media sosial, berkenaan permohonan Abdul Hadi untuk mengadap Sultan Nazrin adalah benar.

Abdul Hadi hari ini memaklumkan bahawa permohonannya untuk menghadap Sultan Perak juga telah diperkenan.

Namun begitu, Abdul Hadi menolak untuk mendedahkan tarikh beliau akan ke istana bagi menghadap Tuanku. –Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here