i-Sinar: Pemuda Umno mahu Tengku Zafrul tunai janji

0
2

PERGERAKAN Pemuda Umno menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, supaya menunai janji berhubung isu pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya berharap Tengku Zafrul dapat mengotakan janji itu kerana rakyat amat memerlukannya bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana sukar ketika ini.

“Harapnya Menteri dapat kota apa yang dikata. Rakyat saban hari mengeluh susah dan gusar dengan pelbagai keperitan hidup ketika ini.

“Harap mansuhkan sahaja segala kriteria dan syarat yang dikenakan bagi pengeluaran i-Sinar KWSP,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kerajaan terutama Menteri Kewangan untuk memantau institusi perbankan yang didakwa mengambil kesempatan terhadap rakyat yang dalam kesempitan ini.

“Juga tolong beri perhatian kepada pelbagai keluhan rakyat yang mengadu bank-bank mengambil kesempatan untuk menstrukturkan balik pinjaman rakyat yang mohon moratorium.

“Mohon sangat kerajaan terutamanya Menteri Kewangan dapat memantau dan meminta bank-bank untuk menyerap semua faedah dan keuntungan yang dikenakan ke atas pinjaman sebagaimana moratorium kali pertama dulu,” ujarnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here