
KITA telah sembah permohonan menghadap Sultan Perak, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, permohonannya untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga telah diperkenan Tuanku.
“Kita telah sembah permohonan dan sudah diterima. (saya) tak mahu beri tarikh bila (akan menghadap),” katanya kepada pemberita ketika sesi dialog di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, hari ini.
Namun begitu, Abdul Hadi menolak untuk mendedahkan tarikh beliau akan ke istana bagi menghadap Sultan Nazrin.
“Tiba masa kita akan menghadap,” jelasnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan PAS mohon untuk menghadap Sultan Perak, pada bila-bila masa yang diperkenan Tuanku.
Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan berkata, permohonan itu adalah bagi menjelaskan situasi politik parti itu ketika ini.
Menurut beliau, tujuannya memohon menghadap Tuanku bagi menyembah maklum tentang suasana politik yang melibatkan parti PAS.
Ini berikutan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu tidak menghadap Sultan Perak selepas menerima arahan daripada PAS Pusat.
Ekoran situasi itu, PAS Perak yang diwakili Razman Zakaria menzahirkan pemohonan maaf kepada Tuanku atas kekhilafan tiga Adun parti itu pada 8 Disember lalu.
Razman berkata, Abdul Hadi sendiri dijadual akan mengadap Baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui.
–Malaysiapost
