Cuepacs sokong penstrukturan semula JKM

0
2
SHAH ALAM 18 DISEMBER 2019. Setiausaha Agong Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat ditemui media pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Kali Ke 28 di Shah Alam Convention Centre. STR/FAIZ ANUAR

CUEPACS menyokong cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menstruktur semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Presidennya Adnan Mat, berkata JKM merupakan tulang belakang kepada kementerian berkenaan dalam menyantuni pelbagai perkara melibatkan pembangunan sosial rakyat Malaysia.

Beliau berkata, bermula dengan penglibatan menangani pelbagai masalah yang timbul akibat Perang Dunia Kedua, peranan dan fungsi Jabatan ini telah berkembang kepada perkhidmatan pencegahan dan pemulihan dalam isu-isu sosial serta pembangunan masyarakat.

“JKM ketika ini merupakan salah satu agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial.

“Justeru, langkah kementerian untuk menstruktur semula JKM bagi menyantuni golongan sasar terutama ketika pandemik Covid-19 adalah langkah yang tepat dan wajar di sokong oleh semua pihak ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembangunan sosial seharusnya selari atau seiring dengan pembangunan ekonomi.

“Sekiranya salah satu daripadanya ditinggalkan, ia akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak seimbang dari sudut sosial dan ekonomi.

“Bagi memastikan matlamat pembangunan sosial ini dapat diseimbangkan dengan kemajuan ekonomi, sudah tentu tenaga kerjanya wajar dipertingkatkan agar segala program yang dijalankan dapat mencapai sasaran ditetapkan sekali gus memberi impak positif.

“Mengikut makluman yang disebut oleh Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, hanya ada 3,000 kakitangan JKM yang bertugas di lapangan untuk memberi khidmat kepada 32 juta penduduk Malaysia. Ertinya 1 petugas memberi khidmat kepada kira-kira 10,000 rakyat Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Adnan berkata, situasi ini sudah tentu akan mengakibatkan banyak perkara yang terlepas pandang hingga menyebabkan program dilaksanakan tidak memberi kesan positif.

“Dengan pertambahan sebanyak 8,000 kakitangan kontrak, sudah tentu banyak program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan dalam masa yang sama mengurangkan bebanan kerja staf yang sedia ada.

“Dalam masa yang sama Cuepacs berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak ini setimpal dengan deskripsi kerja yang akan dilaksanakan oleh mereka kelak.

“Hal-hal kebajikan juga tidak diketepikan dan pastikan mereka ini tetap mendapat keistimewaan yang dimiliki oleh penjawat awam lain.

“Sekiranya ada kekosongan untuk jawatan tetap, berikanlah keutamaan untuk mereka ini memasuki perkhidmatan secara tetap berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat.

“Jangan disia-siakan pengalaman dan khidmat mereka,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here