PELAKON kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh disahkan akan membintangi filem Marvel Cinematic Universe iaitu ‘Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings’ yang akan ditayang pada 9 Julai 2021.

Berita gembira itu diumumkan secara rasmi oleh Disney pada 10 Disember lalu, Michelle akan melakonkan watak bernama Jiang Nan dalam filem itu dan ia berganding semula dengan bintang Crazy Rich Asia, Awkwafina yang akan memainkan watak sebagai Katy.
Secara tidak langsung, Michelle kini adalah pelakon kelahiran Malaysia pertama yang tampil dalam filem Marvel.
Menerusi Instagram milik pelakon berusia 58 tahun itu pada 11 Disember lalu, mengesahkan peranannya dalam filem berkenaan.
“Akhirnya … ini rasmi dan Ya, saya adalah sebahagian daripada Shang-Chi, filem superhero Asia pertama … Terima kasih Marvel. Terima kasih kepada produser kami, kru-kru yang hebat kerana sentiasa menjaga kami dalam keadaan selamat dan sihat ketika waktu kesukaran ini (Covid-19). Terima kasih Sydney untuk langkah pencegahan dan peraturan jarak sosial yang lancar.
“Terima kasih Shangri-La Sydey. Ini adalah perjalanan yang sangat istimewa, perjumpaan yang luar biasa dengan rakan-rakan lama, peluang yang indah untuk kenangan yang baru dan terinspirasi dengan bakat muda baru.
“Ingat, bersatu kita boleh dan akan menjadi lebih baik dan lebih kuat. Saya tidak sabar untuk melihat anda semua di teater tidak lama lagi. Jaga diri dan kekal selamat,” tulisnya.
Filem tersebut juga dibintangi oleh pelakon Hong Kong, Tony Leung dan bekas bintang TVB, Fala Chen. -Malaysiapost

