PEMIMPIN Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berminat untuk menyertai gabungan besar bersama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing, tidak ada keperluan untuk GPS menjadi anggota rasmi mana-mana ‘gabungan besar’, seperti yang dicadangkan oleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Katanya, apa yang penting harus ada persefahaman yang disepakati bersama antara GPS dan parti-parti lain dan semua mesti saling menyokong dalam setiap pilihan raya, termasuk pilihan raya negeri.
“Pendek kata, PN dan calon tidak boleh bertanding dalam (Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang) dan sebaliknya, parti Sarawak boleh bertanding di mana-mana kerusi di Malaya (Semenanjung Malaysia),” katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.
Naib presiden PBB, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah juga bersetuju bahawa GPS tidak perlu menjadi anggota rasmi bagi sebarang pakatan yang dicadangkan Bersatu.
Karim, yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, berkata status quo ketika ini di mana GPS menyokong kerajaan PN sudah mencukupi.
“Biarkan status quo kekal,” katanya.
Terdahulu, Hamzah mencadangkan satu ‘piagam persefahaman politik’ untuk membentuk gabungan gergasi antara PN, BN dan GPS pada PRU15 nanti. – Malaysiapost

