LIDAH rasmi PAS, Harakah merafak sembah permohonan ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kekhilafan menyiarkan gambar ahli politik parti itu setanding dengan baginda.
Menerusi satu kenyataan ralat, Harakah memohon ampun kepada Sultan Nazrin dan menyatakan tidak mempunyai niat untuk menyamakan taraf kedudukan darjat pemerintah raja dengan rakyat.
“Teguran berkaitan protokol ini telah diambil maklum oleh pihak kami dan dengan suci hati merafak sembah memohon ampun kepada Duli Tuanku Sultan atas kekhilafan tersebut,” kata kenyataan itu, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini menasihatkan Harakahdaily agar belajar lebih beradab dan menjunjung adat Negeri Beraja – Rakyat Bersultan.
Ia susulan tindakan Harakahdaily, portal milik PAS itu yang didakwa tidak menghormati Sultan Perak, Sultan Nazrin dalam penyiaran gambar di portal tersebut.
Portal itu telah memuatnaik gambar Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria setanding dengan Sultan Nazrin.
Tegas Annuar Zaini, jangan sampai disama tarafkan kedudukan seorang Adun dengan darjat seorang Raja Pemerintah.
“Nasihat saya kepada Ketua Pengarang Harakah Daily, belajarlah lebih beradab dalam menjunjung adat Negeri Beraja – Rakyat Bersultan,” katanya. -Malaysiapost

