KPDNHEP rampas minyak wangi tiruan bernilai lebih RM1.7 juta

0
2

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 33,272 botol minyak wangi tiruan pelbagai jenama bernilai lebih RM1.7 juta dalam satu serbuan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama hampir dua bulan oleh Unit Risikan Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP.

Beliau berkata, enam premis yang disewa oleh seorang individu telah diserbu di mana ia dijadikan tempat menyimpan stok minyak wangi tiruan pelbagai jenama itu.

“Semasa serbuan, kerja-kerja pembungkusan minyak wangi ke dalam kotak berjenama bagi tujuan pengedaran sedang dijalankan oleh pekerja di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Iskandar Halim berkata, seorang wanita dan lelaki masing-masing berusia 37 dan 43 tahun mengaku bertanggungjawab menjalankan kegiatan itu.

“Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan, manakala 33,272 unit minyak wangi pelbagai jenama seperti Burberry, Gucci, Victoria Secret, Tommy, DKNY, Jo Malone dan Micheal Kors dijumpai,” katanya.

Beliau berkata, barangan tiruan itu diperolehi dari China dan selepas proses pembungkusan ia akan diedarkan kepada pemborong di sekitar Lembah Klang dan dijual dalam talian.

“Pemilik premis disyaki melakukan kesalahan mengikut di bawah Akta Cap Dagangan (ACD) 2019.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan melaporkan kegiatan itu.

“Laporan boleh dibuat melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre atau hadir sendiri di mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here