PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza hari ini mengumumkan sedang mengandungkan bayi lelaki untuk kehamilan keduanya.
Berita gembira berkenaan dikongsi menerusi hantaran di laman Facebook (FB) yang memuatnaik satu video pendek beliau dan suaminya ketika acara pengumuman jantina bayi.
“Alhamdulillah, moga sihat, sempurna dan menjadi anak soleh.
“Allah kurnia sepasang yang sangat bermakna. Doakan saya sepanjang kehamilan hingga saat melahirkan nanti,” tulisnya.
Menerusi video tersebut, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memecahkan belon yang terdapat keputusan jantina anaknya ketika siaran langsung bersama Shopee.
Pada 1 Disember lalu, pelantun lagu ‘7 Nasihat’ itu mengumumkan sedang hamil empat bulan anak keduanya setelah memulakan sesi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan Mei lalu.
Beliau turut mengumumkan untuk berehat panjang selepas membuat rawatan tersebut, termasuk tidak membuat persembahan semasa Semi Final Muzik-Muzik ke-35 baru-baru ini.
Pada 2015, Siti pernah mengalami keguguran dan kemudiannya berkongsi khabar gembira tentang kehamilannya dua tahun kemudian.
Hasil perkongsian hidup bersama Khalid, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Siti Aafiyah yang berusia 2 tahun lebih. -Malaysiapost

