KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta agar isu sumber air mentah di Ulu Muda tidak terus menjadi polemik antaranya dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sehingga memberi gambaran buruk dan bahan ketawa rakyat.
Sebaliknya, beliau mahu perang mulut yang berlarutan sejak beberapa hari ini ditamatkan kerana pihaknya telahpun mengadakan rundingan dengan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai perkara ini pada Oktober lalu.
Katanya, daripada mengeluarkan kenyataan sesuka hati dengan perkara yang akan diketawakan rakyat lebih baik rundingan diadakan supaya perang mulut ini dapat dihentikan.
“Kita perlu jaga imej kita sendiri, janganlah sewenang-wenangnya menyuarakan perkara yang rakyat akan rasa lucu dan mengecewakan. Saya pasti rakyat di kedua-dua negeri tidak mahu melihat perang mulut ini di dalam media.
“Tetapi ingin saya tegaskan di sini isu sumber air mentah adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan menteri berkaitan juga sudah menyatakan salah satu agendanya adalah memastikan semua negeri mendapat sumber air mentah yang mencukupi,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
Dalam masa sama, Kon Yeow sekali lagi menegaskan yang Pulau Pinang mengekstrak air mentah dari Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang yang terletak di wilayah Pulau Pinang.
Disebabkan itu, Pulau Pinang tidak menurut tuntutan bayaran RM50 juta setahun yang dibuat kerajaan Kedah.
Bagaimanapun, beliau mengulangi sokongannya terhadap kerajaan Kedah untuk menuntut pampasan daripada kerajaan Persekutuan kerana menggazetkan Hutan Simpan Kekal Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air sekali gus tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di kawasan tersebut. -Malaysiapost

