Nurul Huda Abhar
PAKATAN besar atau ‘grand coalition’ yang melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mestilah jelas tujuan serta matlamat akhirnya.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan penyatuan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu diperjelaskan dalam amalan demokrasi.
“Kekuatan sebenar kerajaan itu mestilah datang dari akar umbi dan rakyat yang harus diperolehi melalui Pilihan Raya Umum.
“Di negara dengan amalan demokrasi termaju, penubuhan kerjasama politik hanya berlaku jika parti terbesar tidak mempunyai cukup kerusi untuk mentadbir negara dengan berkesan dan selalunya dimeterai sesudah pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pakatan PN, BN, dan GPS mesti membina kekuatan dengan mendapat undi dan mandat sebenar rakyat.
Katanya, Malaysia tidak memerlukan penubuhan ‘coalition over coalition’ kerana umum mengetahui ia adalah strategi ‘survival’ untuk mendapat kekuatan dari sokongan parti terbesar dan bukannya melalui sokongan jitu pelbagai lapisan masyarakat.
“Sebelum ini kita telah menubuhkan kerajaan PN atas kerjasama Ahli-Ahli Parlimen walaupun itu bukan cerminan pilihan rakyat.
“Tindakan tersebut gagal mewujudkan kestabilan politik yang diharapkan. Apakah jaminan yang ‘coalition over coalition’ ini akan membuahkan kestabilan politik yang Malaysia perlukan,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, rakyat memerlukan kerajaan yang kuat dengan mendapat mandat sebenar dan sesuatu yang tidak menjurus kepada objektif tersebut adalah diragui dan tidak diperlukan.
Sementara itu, beliau meminta Bersatu perlu hentikan nostalgia dengan cerita lapuk pengorbanan mereka menyelamatkan negara.
Ini kerana, katanya, semua retorik tersebut telah jelas hanya jalan mudah untuk ‘menyelamatkan’ parti masing-masing agar kekal berkuasa.
“Segeralah kita semua ke medan sebenar untuk menentukan kerajaan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat,” ujarnya.
-Malaysiapost

