Hafizh Syahrin terkejut KIP bersara

0
2

PELUMBA Motor negara Hafizh Syahrin Abdullah terkejut dengan keputusan Khairul Idham Pawi bersara dalam sukan permotoran antarabangsa.

Menurut Hafizh, persaraan Khairul Idham atau mesra dipanggil KIP adalah terlalu muda kerana baru berusia 22 tahun dan masih berpotensi untuk mencipta pelbagai kejayaan lagi di pentas antarabangsa. 

“Bagi saya, keputusan KIP untuk bersara memberi sedikit kesan kepada sukan permotoran negara, termasuk keluarga beliau sendiri yang mahu melihat beliau berjaya (dalam karier permotoran).

“Beliau seorang pelumba yang berbakat, dan senang menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” katanya kepada Bernama.

Hafizh berkata, kecederaan jari kelengkeng dialami rakan seperjuangan itu pada musim lepas adalah salah satu faktor prestasi merudum pelumba kelahiran Perak itu. 

Khairul Idham pernah menjalani pembedahan di jari kelengkeng pada Ogos 2019 selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi latihan bebas GP Sepanyol dan mengambil keputusan memotong sebahagian daripada jari berkenaan Ogos tahun ini di Barcelona, Sepanyol setelah kecederaan jarinya bertambah teruk susulan kemalangan ketika menyertai GP Republik Czech.

Khairul Idham mengejutkan sukan tanah air apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan permotoran selepas khidmatnya tidak disambung oleh Petronas Sprinta Racing pada musim hadapan.

Beliau gagal meraih sebarang mata dalam 13 perlumbaan Moto3 yang disertai pada musim ini bersama pasukan Petronas Sprinta Racing.

Pada tahun 2016, Khairul Idham telah mencetus inspirasi kepada dunia sukan permotoran negara kerana telah menjuarai kategori Moto3 bersama pasukan Honda Team Asia pada Grand Prix (GP) Argentina dan GP Jerman. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here