Wujud konspirasi gagalkan dasar ‘No Anwar No DAP’ – Annuar Musa

0
2

Nurul Huda Abhar

DASAR parti menolak Anwar dan DAP telah diputuskan berkali-kali di semua peringkat, kata Setiausaha Agung Barisan (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, dasar itu juga turut diguna pakai dengan parti-parti sealiran yang membawa kejayaan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan menamatkan dominasi DAP di Putrajaya.

“Kini dasar ini cuba ditebuk perlahan lahan. Jarum DAP menusuk halus utk menghancurkan pakatan ‘No Anwar No DAP.

“Umpan yang ditawarkan adalah umpan yang mereka tahu pasti ditelan jerung besar.

“Kesukaran kita bertindak terhadap percubaan berkali-kali mengkhianati Dasar No DAP No Anwar, adalah kerana tak tergamak, hormat, segan dan sifat sifat toleren Melayu yang lain,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kini terdapat konspirasi menggagalkan dasar menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP.

Katanya, tindakan licik itu termasuk mengumpul akuan bersumpah (SD), memujuk pihak untuk sokongan, cubaan untuk menimbulkan kemarahan kerajaan, serta mengusik Institusi Diraja.

“Liciknya pihak yang kempunan kuasa, yang berharap mengambil alih kuasa amat bijak mengatur strategi. Mereka pura pura letak DAP di saf belakang agar mereka mudah mempedaya kelompok No DAP No Anwar’.

“Watak ini telah sekian lama menghantui politik negara..tetapi mereka mungkin tidak sedar, gerakan mereka sudah dibaca,” ujarnya.

Sebelum ini, Annuar menjawab khabar angin yang berlaku membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan BN, namun beliau menegaskan barisan kepimpinan parti itu tetap menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, BN dan Muafakat Nasional (MN) sudah memutuskan 10 dasar dan selagi ia tidak diubah, gabungan itu akan terus melaksanakannya walaupun kadangkala berdepan kesukaran.

Antara dasar utama parti itu ialah mengulangi komitmen bahawa BN menyertai PN secara en bloc dan mengekalkan pendirian menolak DAP, Anwar dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here