BEKAS Penolong Pengarang Berita Harian, Hardi Effendi Yaacob meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kerdas 3, Batu 6, Gombak, malam tadi.
Allahyarham yang berusia 43 tahun dilaporkan mengadu pening kepala sebelum tidak sedarkan diri, kira-kira jam 10 malam.
Adik iparnya, Haizatul Nur Amilin Mokhtar, berkata ahli keluarganya kemudian menghubungi hospital sebelum sepasukan anggota perubatan dengan sebuah ambulans tiba di kediaman abang iparnya tengah malam tadi.
“Anggota perubatan kemudian memberi bantuan pernafasan namun usaha itu tidak berjaya dan mengesahkan kematiannya.
“Jenazah kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat,” katanya.
Allahyarham menyertai skim latihan kewartawanan Berita Harian pada 1996 selama tiga bulan sebelum diserap sebagai wartawan kadet dan pernah menjadi wartawan Meja Hiburan dan Meja Jenayah.
Allahyarham kemudiannya bertugas sebagai Ketua Biro Berita Harian di Sarawak dan jawatan terakhirnya di Berita Harian adalah sebagai penolong pengarang berita sebelum meninggalkan agensi berita itu, Mac tahun ini.
Selepas beberapa bulan meninggalkan Berita Harian, beliau kemudiannya menyertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai sebagai pegawai khas sejak November lalu.
Allahyarham meninggalkan isteri, Leany Mokhtar, 41, serta dua anak perempuan, Nur Khayla Iman, 12 tahun dan Nur Khadeeja Iman, 8 tahun. -Malaysiapost

