Celine, pemain bola sepak wanita pertama negara sertai Bayern Munich

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PEMAIN sayap skuad bawah 15 (B-15) wanita kebangsaan, Celine Chuang mencipta sejarah menjadi pemain bola sepak wanita pertama negara beraksi bersama kelab gergasi Jerman, FC Bayern Munich.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan Celine, 15, beraksi untuk skuad kedua B-17 wanita FC Bayern Munich sejak Julai lalu.

Remaja itu, menerusi perkongsian di Facebook FAM menyatakan dia berkongsi minat dan keghairahan terhadap sukan bola sepak selepas menyaksikan aksi kakak serta abangnya di atas padang.

“Saya memulakan latihan secara serius dalam sukan ini empat tahun lalu ketika berusia 11 tahun di Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB), Pulau Pinang.

“Teknik baru serta menyeronokkan yang boleh dipelajari adalah salah satu faktor saya jatuh hati terhadap sukan ini selain membantu mengekalkan kesihatan minda apabila berhadapan tekanan,” katanya.

Berbekalkan keinginan tinggi untuk meningkatkan lagi prestasinya, Celine membuat keputusan berhijrah ke negara jiran bagi menjalani latihan bersama Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket, Thailand selama dua tahun.

“Ketika mengikuti latihan di Malaysia, saya banyak mempelajari asas bola sepak. Namun, di Thailand pula, latihannya lebih sengit dan mendalam kerana saya berlatih sepanjang minggu di bawah metodologi Cruzeiro,” katanya.

Kehidupan Celine berubah apabila keluarganya membuat keputusan berhijrah ke Jerman, bagi mengikuti jejak abangnya untuk mendapatkan pendidikan di Munich.

Berkongsi cita-cita sama seperti abangnya, Celine juga mempunyai keinginan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Jerman selain mengimpikan masa depan yang cerah.

Bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional di Liga Jerman (Bundesliga) dan Piala Dunia, Celine mengambil keputusan berani untuk menghadiri sesi pemilihan bersama kelab Bavaria itu Februari lalu.

“Segala usaha selama ini ternyata berbaloi apabila saya diumumkan antara 10 pemain baharu yang terpilih untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 FC Bayern Munich.

“Saya juga sangat bersyukur apabila diberi peluang untuk beraksi bersama skuad lelaki FC Wacker München e.V,” jelas Celine.

Dengan pengalamannya berlatih bersama skuad lelaki B-13 dan B-15 di Thailand, Celine sudah biasa bermain di samping rakan sepasukan.

“Beraksi dan berlatih bersama FC Wacker Munchen e.V banyak mengajar saya untuk memperbaiki teknik selain mendidik untuk jadi lebih berkeyakinan,” katanya.

Berkongsi pula pengalamannya sepanjang empat bulan berlatih di Jerman, Celine menyatakan pada awalnya, dia mengambil masa untuk membiasakan diri berlatih dalam cuaca sejuk selain perbezaan bahasa menjadi salah satu cabaran perlu dilaluinya.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, komuniti di sini sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan kami di sini (Jerman). Saya telah berupaya menyesuaikan diri selepas menetap di sini sejak Jun lalu.

“Bagaimanapun kami kini hanya menjalani latihan secara online selepas pertandingan dan liga dibatal serta ditangguhkan kerana pandemik Covid-19,” katanya.

Nama Celine mula mendapat tempat di dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman susulan kejayaan menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua B-17 wanita FC Bayern Munich.

Celine mengutip gol antarabangsa pertama bersama skuad B-15 wanita Harimau Malaya pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita B-15 2019 selepas menewaskan Cambodia 2-1 di Chonburi, Thailand.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here