Usaha ambil balik FGV dibuat sejak 2017 – Shahrir Samad

0
2
KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika temu bual khas bersama Bernama di Menara Felda hari ini. Pengerusi baharu Felda itu berikrar untuk kerap turun padang bagi memastikan kebajikan dan agenda membangunkan 112,635 peneroka tercapai. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

BEKAS Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjelaskan usaha mengambil balik FGV Holdings Berhad (FGV) telah diusahakan ketika beliau mengetuai agensi itu, semasa zaman Barisan Nasional (BN). 

Menerusi hantaran di Facebooknya, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) telah mencadangkan mengenainya sebaik beliau dilantik sebagai Pengerusi Felda pada awal 2017. 

Pada ketika itu, katanya, beliau harus mengembalikan dulu keyakinan institusi kewangan terhadap Felda kerana tidak ada bank kecuali Bank Rakyat sanggup memberi pinjaman, itupun dengan syarat-syarat cagaran kolateral yang berat. 

“Pada bulan pertama saya berada di Felda telah terbongkar juga kes tanah-tanah milik Felda yang bertukar tangan berikutan perjanjian pembangunan antara Felda Investment Corporation (FIC) dengan Synergy Promenade (SPSB). 

“Kedua-dua ini, kurang keyakinan bank terhadap Felda dan kes tanah Felda Jalan Semarak, menunjuk kepada kelemahan urus tadbir dalaman Felda serta syarikat-syarikat sekutunya. 

“Maka keutamaan saya ialah membetulkan urus tadbir dalaman Felda dulu. Sambil itu, saya juga perlu mententeramkan pemegang taruh Felda yang terpenting, iaitu masyarakat Peneroka Felda,” katanya. 

Shahrir berkata, selepas beberapa perubahan dalaman untuk meningkatkan urus tadbir Felda, kepercayaan bank dapat dipulihkan sehingga Maybank sedia mengatur Sukuk bagi Felda tanpa perlu jaminan kerajaan. 

Beliau menambah, ia dicapai dalam tempoh enam bulan selepas dilantik dan 13 bulan kemudian, tanah Felda di Jalan Semarak kembali menjadi milik agensi tersebut. 

“Fitnah pembangkang terhadap kedudukan kewangan Felda telahpun diredakan apabila mahkamah pada Disember 2017 mengenakan bayaran ganti rugi RM2 juta ke atas Dr Wan Azizah (Wan Ismail) kerana fitnahnya bahawa Felda bankrap. 

“Keyakinan semua pemegang taruh Felda terhadap badan kerajaan itu sudah juga semakin meningkat,” katanya. 

Katanya lagi, sepanjang 17 bulan mengetuai Felda sehingga PRU14, pelaksanaan perkara besar, sama ada menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) dengan FGV atau mengambil balik FGV, hanya setelah perkara-perkara dalaman Felda diselesaikan. 

“Apapun, dalam masa 17 bulan itu, imej dan nama baik Felda dapat dipulih kembali. 

Sebagai orang politik, ukurannya pasti juga dari segi sikap pengundi Felda pada PRU14 apabila secara purata Barisan Nasional (BN) memperolehi 58% jumlah undi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda. 

PAS pula katanya, memperolehi 31% manakala Bersatu, Amanah, PKR dan DAP berkongsi baki 11%. 

“Kini, 30 bulan selepas saya meninggalkan Felda, Felda bergerak untuk mengambil balik FGV. 

“Ia pilihan terbaik kerana dengan harga saham FGV berada di paras rendah (RM1.27 sesaham pada tarikh pengumuman Felda berbanding RM1.83 pada Mei 2018), ia menjadi pilihan yang termurah. 

“Saya yakin ia akan berjaya, sepertimana bank utama negara juga sudah yakin terhadap Felda,” katanya. 

Sharir turut menyindir Wan Azizah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, Felda tidak membantah apabila beliau merayu agar ganti rugi RM2 juta yang perlu dibayarnya dikurangkan ke RM70,000 atas alasan ganti rugi yang asal akan menjadikannya seorang yang bankrap. 

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini dilaporkan berkata, agensi itu bercadang mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here