SEORANG YouTuber direman dua hari bagi membantu siasatan atas dakwaan mencabul seorang wanita berusia 24 tahun di Kubang Kerian, 2 Ogos lalu.
Perintah reman bermula hari ini sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Kamarul Hasyime Rosli di Kota Bharu hari ini.
Suspek berusia 22 tahun tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu jam 10.35 pagi tadi dengan diiringi polis.
Siasatan terhadap YouTuber yang juga penerbit dan pengarah drama itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan, laporan polis dibuat mangsa terhadap suspek yang beralamat di Kuantan, Pahang itu pada Jumaat lalu, mendakwa dicabul.
Insiden didakwa berlaku selepas penggambaran drama arahan suspek pada pagi, 2 Ogos lalu di sebuah inap desa di Kubang Kerian.
Laporan itu menyatakan suspek mencium, memeluk serta meraba bahagian dada dan kemaluan mangsa yang juga pelakon drama itu sebelum melakukan onani ketika mangsa berseorangan di sebuah bilik tidur di tempat kejadian.
Suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pagi semalam sebelum ditahan bagi siasatan lanjut. – Malaysiapost

