Putra intai 6 kerusi Parlimen di Johor

0
3

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyasarkan untuk meletakkan calon di enam kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata daripada enam kawasan itu, parti berkenaan akan sah bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam dengan calon juga sudah dikenal pasti.

“Lima kawasan Parlimen lain di Johor masih dalam penelitian,” katanya Mesyuarat Putra Perhubungan Negeri Johor di Ayer Hitam hari ini.

Ibrahim berkata Putra Johor juga sedang meneliti untuk meletak calon di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ramai tokoh berkelayakan namun Putra hanya akan meletakkan calon di kawasan yang dipastikan mempunyai harapan 50-50 untuk menang,” katanya.

Dalam program berasingan di Felda Bukit Batu, Kulai, beliau berkata Putra akan menjadi blok ketiga dan tidak bersama dengan Perikatan Nasional, Muafakat Nasional mahupun Pakatan Harapan

Putra adalah wadah Melayu dan pribumi tulen yang akan menjadi pilihan kepada parti politik sedia ada kerana kita mahu pastikan tidak berlaku lagi menang sorak kampung tergadai.

“Putra parti berintegriti, bersih dan tidak hipokrit atau munafik,” tegasnya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan tambahan Ahli Dewan Tertinggi Putra dari Johor iaitu Dr Kamari Kasan yang juga Ketua Penaja Bahagian Pasir Gudang.