PRN Sabah: Hamzah yakin Juhar tak salah guna kuasa

0
2

[PRN Sabah] Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin tidak akan menyalahgunakan kedudukannya dalam membuat keputusan berkaitan perkembangan politik semasa di Sabah.

Keyakinan itu disuarakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ketika mengulas perjumpaannya dengan Juhar sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), akhir bulan lalu.

Hamzah berkata, beliau berjumpa dengan Juhar untuk membincangkan beberapa perkara termasuk berkaitan masa depan Sabah.

“Biar saya berterus terang dengan anda, Tun Juhar adalah kawan baik saya sejak 1990-an. Tiada salahnya saya berjumpa beliau dan semasa pertemuan kami, antara perkara dibincangkan tentulah mengenai masa depan Sabah.

“Bagaimanapun, perinciannya ialah antara saya dengan beliau. Saya tahu perkara yang kami bincangkan dan beliau tahu perkara yang saya maklumkan kepadanya.

“Saya yakin beliau tidak menyalahgunakan kedudukannya dan sebagai ketua negeri, biarlah beliau mengambil tanggungjawab ke atas tindak-tanduknya,” katanya dipetik FMT di Kota Kinabalu, hari ini.

Hamzah berkata, apa yang penting, jika benar perlu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), maka perkara itu akan dihadapi.

“Lebih penting bagi saya ialah Allah tahu siapakah yang melakukan perkara yang betul dan siapakah yang menyalahguna kedudukan,” tambahnya.

Hamzah berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bahawa beliau dan Setiausaha Politik Perdana Menteri bertemu Juhar sebelum ini.

Pada sidang media 29 Julai lalu, Musa berkata, Hamzah dan Setiausaha Politik Perdana Menteri membuat kunjungan hormat terhadap Juhar untuk memaklumkan bahawa gabungan baharu menyokong Perikatan Nasional yang diketuainya, mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, cubaan mengambil alih kerajaan negeri itu gagal apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat persetujuan Juhar bagi membolehkan PRN diadakan.

Hamzah berkata, jika benar Juhar mempersetujui pembubaran DUN, maka parti politik di Sabah perlu menerima hakikat itu dan sedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Bagi saya mudah. Biarkan perkara yang harus berlaku, berlaku. Perlu ada penyelesaian segera.

“Jika Yang di-Pertua Negeri bersetuju menerima permintaan ketua menteri untuk membubarkan DUN, jika keputusan itu tulen, maka kita hadapi.

“Kita perlu buat keputusan untuk kepemimpinan masa depan negeri ini, kita lakukan bersama-sama. Terserah kepada parti di Sabah untuk bersaing dan memastikan mereka diterima oleh rakyat. Rakyat yang buat keputusan berhubung negeri mereka,” katanya.