Kumpulan Rentas Parlimen tangani isu prasarana, sistem penjara

0
3

SATU Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Penambahbaikan Penjara dan Pusat Tahanan, bertujuan mencari penyelesaian terbaik berkaitan prasarana penjara dan sistem tahanan negara telah ditubuhkan hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman berkata mesyuarat pertama bagi tujuan penubuhan KPPRM telah berlangsung semalam.

Ia turut dihadiri lima Ahli Dewan Rakyat dan dua Ahli Dewan Negara, pihak berkepentingan dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA), Universiti Malaya selaku Sekretariat.

Katanya, penubuhan KRPPM tepat pada masanya memandangkan kadar yang dijangkiti Covid-19 di penjara mencatat angka tinggi iaitu lebih 7,000 kes tidak termasuk 560 kes dilaporkan menjangkiti kakitangan penjara.

“Selain itu, jumlah banduan yang melebihi kapasiti penjara amat membimbangkan dan memerlukan perhatian dan tindakan segera untuk diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata usaha itu mendapat kerjasama dan keazaman pelbagai pihak terutama Yang di-Pertua Dewan Negara (YPDN), Tan Sri Dr Rais Yatim.

Rais hari ini mempengerusikan perbincangan mengenai isu penambahbaikan penjara dan pusat tahanan dalam tempoh Covid-19 yang dilihat semakin menular buat masa ini.

“KPPRM menyambut baik cadangan YB YPDN untuk menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Bersama yang akan terdiri Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara bersama demi kesejahteraan rakyat.

“Penubuhan Jawatankuasa Rundingan Bersama yang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 79 (Dewan Negara) ini julung kalinya dalam sejarah institusi Parlimen Malaysia,” katanya.

Ahli KPPRM ialah Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS – Batang Lupar); Ramli Mohd Noor (BN – Cameron Highlands); Nurul Izzah Anwar (PH – Permatang Pauh) dan Datuk Azis Jamman (Warisan – Sepanggar) serta Ahli Dewan Negara iaitu Senator Liew Chin Tong dan Senator Datuk Seri Vell Paari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here