DPIM sambut baik inisiatif Wakaf Air

0
3

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyambut baik langkah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewujudkan inisiatif Wakaf Air (Tabung Wakaf Air Nasiona) melalui Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Ketua DPIM, Shahir Adnan, berkata Wakaf Air bertujuan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat, sama ada individu, syarikat swasta atau mana-mana pihak yang ingin bersama-sama menyumbang dalam pengurusan infrastruktur bekalan air kepada rakyat.

“Sumbangan tersebut boleh mengikut kemampuan masing-masing dan memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk berbakti kepada masyarakat dan sebagai orang Islam, ia dapat dijadikan saham akhirat kepada penderma.

“Ciri utama Wakaf Air ialah menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk mewakafkan air, mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, berbeza dengan Tabung Harapan yang ditubuhkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tanpa pelaksanaan yang jelas, sumbangan Wakaf Air ini diuruskan oleh pihak bertanggungjawab iaitu Yayasan Wakaf Malaysia dan digunakan dengan tujuan yang jelas, iaitu pengurusan bekalan air, terutama di luar bandar.

“Pelaksanaan Wakaf Air akan melibatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan keperluan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Menariknya, projek Wakaf Air akan diagihkan kepada golongan sasar terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam kerana konsep wakaf adalah bersifat manfaat umum dan boleh dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Ini adalah lambang keindahan Islam melalui ibadah wakaf dan lambang perpaduan antara kaum di Malaysia melalui konsep Bangsa Malaysia. Apabila bekalan air disalurkan di sesuatu kawasan melalui projek Wakaf Air, penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama dapat menikmati anugerah air tersebut,” katanya.

Katanya, wakaf adalah suatu platform yang menjadi tulang belakang bagi ketamadunan dan peradaban dunia Islam.

“Terbukti melalui sejarah dunia dan sejarah ketamadunan Islam, sistem wakaf telah membangunkan pelbagai prasarana untuk kesejahteraan masyarakat dari sudut kerohanian, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kelestarian.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN, kita berpandangan bahawa langkah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memperkenalkan Wakaf Air adalah satu usaha yang baik bagi menghidupkan amalan kelestarian di kalangan masyarakat, terutamanya apabila negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here