CHINA adalah sebuah negara yang mempunyai pengalaman dalam penghasilan vaksin dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, China pernah mengeluarkan pelbagai vaksin pra berkelayakan seperti vaksin influenza, polio, hepatitis A dan Japanese Encephalitis (JE).
“Mereka ada pengalaman dari segi membuat vaksin. Berbeza kali ini adalah vaksin baharu (Covid-19), jadi perlu ada kajian fasa klinikal pertama sehingga ketiga,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan pihak yang menyebarkan risalah kononnya vaksin dibangunkan oleh China adalah tidak selamat.
Risalah itu dikatakan diedarkan secara percuma kepada penduduk di sekitar Lembah Klang.
Dr Noor Hisham menafikan dakwaan itu dan menyatakan maklumat yang disebarkan pihak berkenaan adalah tidak benar.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu ketika ini terdapat 12 vaksin Covid-19 yang sedang dikaji dan berada di peringkat fasa klinikal ketiga.
“KKM masih memantau keberkesanan dan kesan samping penggunaan vaksin itu serta menunggu penyerahan vaksin kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya. – Malaysiapost

