Nurul Huda Abhar
KETIGA-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Perak telah menandatangani Akuan Sumpah (SD) menyokong pelantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baharu.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria kepada media selepas mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh sebentar tadi.
“Yang itu (SD menyokong Saarani) kita dah tanda tangan mengikut keputusan (PAS Pusat). Nanti biar keluar apa berita yang sebenarnya kita tahulah,” katanya.
Terdahulu, Razman yang juga Adun Gunong Semanggol bersama Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) menghadap Sultan Perak, dipercayai bagi menyatakan pendirian mereka berkaitan calon Menteri Besar.
Mengulas lanjut, Razman berkata pihak Istana akan menentukan jumlah Adun yang menyokong calon Menteri Besar sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.
Sementara itu, Mohd Akmal yang juga Setiausaha PAS Perak menerusi Facebook menyifatkan keputusan pucuk pimpinan PAS bersama Bersatu dan Umno yang dicapai atas dasar permuafakatan, menamatkan keresahan krisis politik di negeri tersebut.
“Berakhir keresahan selama ini. Alhamdulillah petang ini ketiga-tiga Adun PAS menandatangani Akuan Sumpah tanda persetujuan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
“Tandatangan dibuat di Hotel Impiana, Ipoh dengan disaksikan Pesuruhjaya Sumpah.
“Sejurus itu ketiga tiga Adun PAS bergerak ke Istana Kinta untuk menghadap Tuanku Sultan Perak untuk menyembah maklum persetujuan ini.
“Semoga dipermudahkan oleh Allah untuk berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair,” katanya.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) serta PAS dan Bersatu bersetuju menamakan Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak sebagai Menteri Besar yang baharu untuk diperkenankan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Persetujuan itu dicapai atas semangat pemuafakatan Perikatan Nasional (PN) membabitkan Bersatu dan PAS serta BN. – Malaysiapost

