‘Peja berjiwa besar’

0
2

BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disifatkan sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar dan ‘gentleman’.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut merakamkan rasa hormat terhadap Ahmad Faizal ketika Ahli Parlimen Tambun tersebut memaklumkan kemelut politik di Perak telah selesai.

“Semasa mengambil bahagian dalam perbahasan menolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), Belanjawan 2021 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, secara tiba-tiba mantan MB Perak yang juga MP Tambun, DS Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja, memulakan mukadimah ucapannya dengan menyebut:

“Setelah dirujuk oleh Presiden UMNO DS (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS DS Haji Hadi Awang, kemelut politik di Perak telah pun SELESAI”!

Sejurus itu, Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata Dewan Rakyat kemudian bergema dengan laungan “steady Peja”.

“Saya respect (hormat) YB Peja dengan ucapannya hari ini dan juga ucapan terakhir beliau sebagai MB Perak di DUN Perak lalu. YB Peja benar-benar seorang pemimpin yang berjiwa besar dan gentleman,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Faizal dijatuhkan sebagai Menteri Besar menerusi usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat lalu.

Beliau hanya memperoleh 10 undi menyokong, berbanding 48 undi terdiri daripada 24 wakil BN daripada Umno dan 24 wakil Pakatan Harapan (PH) menolak, dan satu berkecuali.

Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang, kemudian mempersembahkan surat peletakan jawatan menteri besar dan juga barisan Exco kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here